AKHWAT MISTERI: Ujian Dari Allah [Part 11]

9:23:00 PG Mohd Zahiruddin 0 Comments

PINTU bilik wad milik isterinya dibuka perlahan-lahan, dia melihat isterinya sedang berehat dan di tangan kanannya ada seutas tasbih. Sempat dia menguntumkan senyuman kerana melihat bibir isterinya sedang berkumat-kamit. Berzikir barangkali. 

    Dia menapak menuju ke katil isterinya lalu melabuhkan punggung di atas kerusi yang sudah disediakan di dalam bilik itu.  Wajah pucat Qalisya Az-Zahra direnung lama, dia beruntung mempunyai seorang isteri sebaik Qalisya Az-Zahra. Wanita ini terlalu istimewa baginya, tiada sesiapa pun dapat menggantikan tempat Qalisya Az-Zahra dalam hatinya.  

    Rambut isterinya yang berjuntai itu dielus lembut, tidak mahu menganggu fokus isterinya yang sedang memuja-muja nama ALLAH SWT. Selendang yang menutupi rambut isterinya diselak sedikit, supaya tidak panas memandangkan suhu penghawa dingin sudah diperlahankan. Qalisya Az-Zahra sangatlah menjaga auratnya walaupun doktor yang akan merawatnya adalah perempuan sahaja. 

   “Abang..” panggil Qalisya Az-Zahra sebaik saja merasai helaan nafas suaminya. 

   “Ya sayang..?” jari jemari isterinya diusap-usap lembut. 

   “Umur Lisya dah tak panjang, inipun ALLAH pinjamkan sekejap..” tutur Qalisya Az-Zahra dengan lemah, air mata yang mengalir dari tubir matanya diseka segera. 

    “Sayang, abang tak suka dengar Lisya cakap macam ni.. Lisya tak boleh tinggalkan abang, kalau boleh.. Biarlah abang yang tinggalkan Lisya dulu..” pujuk Fatthul Zikri, hidung isterinya dicuit. 

     “Mana boleh, Lisya tak sanggup tengok abang pergi dulu.. Jadi biarlah Lisya yang mati dulu..” Qalisya Az-Zahra tergelak kecil mendengar kata-kata suaminya itu. 

      “Mana boleh.. Nanti abang sunyi, tak ada dah orang yang abang nak bahan..” seloroh Fatthul Zikri, dia ketawa mengekek-ngekek. 

     “Lisya sayang dan cinta abang..” luah Qalisya Az-Zahra sambil pipi suaminya diusap-usap, tidak sanggup rasanya untuk meninggalkan semua ini. Tapi kehendak ALLAH SWT, tidak ada sesiapa pun boleh menghalang. 

      “Ya, abang pun.. Terlalu cinta dan sayangkan isteri abang ni..” akui Fatthul Zikri, dahi isterinya dikucup lama. Dia meluahkan segala kasih dan sayang. 

       “Lisya nak hidup lama lagi dengan abang, dengan abi..” rintih Qalisya Az-Zahra sambil menangis. Dia mencium telapak tangan suaminya.  

       “Sayang.. Abang pun..” Fatthul Zikri menitiskan air mata.  

       “Maafkan salah silap Lisya.. Ampunkan dosa-dosa Lisya, bang..” pinta Qalisya Az-Zahra, teresak-esak tangisannya. 

       “Sayang, abang dah lama maafkan sayang.. Lisya seorang isteri yang baik..” puji Fatthul Zikri lalu menguntumkan senyuman.  

       “Terima kasih bang, Lisya beruntung dapat suami macam abang.. Love you..” 

       “I love you more and more..” 

       “Tak boleh, Lisya love, love and love Fatthul Zikri..” 

        “Qalisya Az-Zahra..”  

        “Ya abang..”  

         “Boleh abang tanya sesuatu..?” tanya Fatthul Zikri. 

         “Tanyalah..” jari jemari suaminya diusap-usap. 

          “Kenapa Lisya suka abang..? Kenapa nak nikah dengan abang..?” Fatthul Zikri memuntahkan persoalan yang sering bermain-main di benaknya. Sudah lama dia mahu bertanyakan tentang ini. 

          “Sebab Lisya suka abanglah..” balas Qalisya Az-Zahra selamba. Sempat dia mengerling ke arah suaminya yang merenung dirinya. 

           “Okay.. Abang ingat tak dulu kita sebenarnya pernah terserempak dekat pantai, masa tu sapu tangan abang jatuh.. Lisya tolong bagi dekat abang..” terang Qalisya Az-Zahra. 

         “Hmm, rasanya macam ingat..” Fatthul Zikri mengusap dagunya. 

         “Masa itulah Lisya jatuh cinta dengan abang, sebelum Lisya bagitahu dekat abi yang Lisya nak nikah dengan abang.. Lisya dah buat solat istikharah, minta petunjuk.. Alhamdulillah, ALLAH bagi Lisya suami yang baik..”  

        “Tak akan sebab itu aje..?” berkerut dahi Fatthul Zikri. 

         “Sebab satu lagi, Lisya dapat rasakan abang ni seorang yang baik.. Lisya pernah nampak abang menangis di kubur arwah mak dan ayah abang.. Masa tu Lisya pun nak ziarah kubur umi, Lisya kagum tengok abang baca al-Quran.. Sambil menangis..”
  
         “Abang biasa-biasa aje..”  

        “Tak, abang luar biasa.. Mana ada orang yang nak isteri yang tengah sakit.. Siapa yang nak jaga isteri yang sakit, yang dah nak mati..” Qalisya Az-Zahra mencuit hidung suaminya. 

         “Sayang, jodoh abang dengan Lisya.. Abang reda sayang..” akui Fatthul Zikri, dia tersenyum simpul merenung anak mata isterinya. Indah sungguh ciptaan Tuhan yang satu ini. 

        “Dan Lisya reda kalau abang cari pengganti Lisya bila Lisya dah mati nanti.. Lisya nak abang bahagia..” tutur Qalisya Az-Zahra. 

         Fatthul Zikri terdiam sendiri, dia tidak mahu berkata apa-apa lagi. Hanya tersenyum memandang isterinya yang tersenyum itu. Tiba-tiba dia teringatkan Nurul Laily, entah mengapa dia teringatkan wanita itu. Yang sudah tu, sudahlah Fatt. Gumam hatinya

********************
AKHWAT MISTERI: Ujian Dari Allah [Part 10]

You Might Also Like

0 comments:

Do Comment k